Sunday 20 January 2013

20.01.13 - 7 janji Najib bukti kerajaan tidak pernah pinggir Kelantan

7 janji Najib bukti kerajaan tidak pernah pinggir Kelantan

 

 KOTA BHARU: Tujuh projek besar yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika lawatan ke Kelantan semalam adalah bukti jelas kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan Kelantan.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata janji itu yang bakal dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, menunjukkan Perdana Menteri prihatin akan nasib penduduk Kelantan yang masih ketinggalan pada pelbagai aspek pembangunan.

"Ini juga jawapan tepat kepada tohmahan dan juga tuduhan-tuduhan yang kata kita diskriminasikan Kelantan. Ini terbukti bahawa apa yang difitnahkan pembangkang itu tidak benar," katanya kepada Bernama, di sini, malam tadi.

Beliau ditemui selepas melawat jurugambar Bernama, Zahari Abdul Razak, yang dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, apabila mengadu sakit pada bahagian perut dan pinggang selepas selesai membuat liputan lawatan kerja sehari Najib, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Bernama Kelantan, Mohd Bakri Darus dan Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan (KEMUDI), Harris Hazri Abdul Halim.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kesemua perkara yang dijanjikan Perdana Menteri itu adalah suatu yang sangat dinantikan masyarakat Kelantan selama ini.

Tujuh projek itu merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.
Projek lain ialah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment